Tuesday, March 8, 2011

Sikap Buruk Lelaki


SETIAP ORANG MEMPUNYAI KELEMAHAN TERSENDIRI DALAM HIDUP. ANTARANYA PANAS BARAS, KEPALA ANGIN, PENDIAM, PEMALU, TERLALU RAMAH, PENIPU DAN SEBAGAINYA. TIDAK KIRA LELAKI MAHU PUN WANITA, SEMUANYA MEMPUNYAI KELEMAHAN YANG ANDAINYA TIDAK DIKAWAL, AKAN MEMBUATKAN SESEORANG ITU KELIHATAN LEMAH DI MATA ORANG LAIN.
Tidak dinafikan, memang ada manusia memiliki sifat-sifat kesombongan dan sifat buruk lain di dalam diri dan sifat buruk itu menjadi kelemahan yang sukar mereka atasi. Cuba semak, apa kelemahan lelaki!

Mengeluarkan Kata-kata Cacian
Tidak dinafikan, lelaki mudah mengeluarkan kata-kata berbentuk cacian tatkala marah. Mereka bebas bercakap tanpa memikirkan adakah hati pasangannya terluka atau tidak? Selalunya jiwa yang rosak akan bertambah parah, di mana wanita yang biasa menerima kata-kata makian ini, akan berdendam di dalam hati. Kadangkala lelaki marah kerana isu-isu remeh-temeh seperti penampilan pasangan, masakan tidak sedap, tidak melayan nafsunya di ranjang, tiada duit dan sebagainya. Awas, jika anda menyayangi pasangan, jangan sesekali melontarkan kata-kata nista terhadapnya. Ingat, kata-kata lebih tajam dari mata pedang.

Tidak Matang
Sesetengah lelaki kelihatan tidak matang berbanding usianya. Malah perkara humor yang dibuat oleh mereka juga kadangkala tidak kena pada tempatnya. Bayangkan, anda cuba berbuat perkara lucu di sebuah majlis yang sangat formal sedangkan semua orang sedang serius ketika itu. Sesetengah lelaki cuba membuat lawak kerana mereka berfikir, wanita mudah tertarik kepada lelaki yang lucu. Tetapi kalau lucu anda itu menunjukkan ketidakmatangan, anda pasti gagal memikatnya juga. Jadi sebelum menunjukkan sifat tidak matang itu, berfikirlah dahulu sebelum melakukannya.

Anda Lelaki Yang Membosankan
Bosan! Menyebutnya saja sudah dapat kita bayangkan bagaimana suasana ketika itu. Awas, jangan tidak tahu, ada lelaki yang sangat membosankan di mata wanita. Ambil contoh lelaki yang langsung tidak mempedulikan tarikh-tarikh penting pasangannya, gagal membuat lawak, serius pada satu-satu perkara, tidak prihatin dan sebagainya dan kalaulah sikap anda begitu, andalah lelaki yang sangat membosankan. Biasanya, wanita tidak akan teragak-agak meninggalkan anda.

Perlakuan Tanpa Sedar
Pernah anda berhadapan dengan satu situasi. Anda ditengking di hadapan semua orang dengan kata-kata kurang menyenangkan. Anda malu dan terus menangis bila semua orang memandang. Tahukah anda, satu lagi sikap buruk lelaki adalah melakulan sesuatu perkara tanpa menyedari perbuatan mereka itu salah dan tidak kena pada tempatnya. Namun kalau inilah yang terjadi, anda tidak mempunyai ruang dan masa untuk memohon maaf kepada si dia yang telah anda sakiti hatinya.

Tidak Suka Berterus-terang
“Abang balik lambat hari ini, bos suruh buat kerja-kerja yang menimbun di pejabat”. Atau “saya ada urusan penting minggu ini, tak boleh nak jumpa awak minggu ini”. Ayat-ayat di atas mungkin antara ayat biasa anda dengar diucapkan oleh lelaki. Kadangkala mereka menggunakan pelbagai alasan untuk mengelak dari menjawab pertanyaan diajukan oleh teman wanita/isteri. Ramai lelaki yang hanya suka memberi jawapan sangat ringkas, sedangkan wanita ingin tahu dengan lebih teliti. Sebenarnya, inilah satu sikap lelaki yang sangat ketara, yang mana ramai wanita beranggapan, lelaki sangat membosankan. Jawapan tidak pernah jujur. Walau pun kajian mendapati lelaki suka menjawab pertanyaan dengan ringkas kerana itu sikap mereka tetapi sikap itu boleh diubah. Ia bukan seperti wajah ciptaan Allah SWT, yang manusia diharamkan mengubahnya kecuali atas sebab-sebab perubatan. Kalau anda berfikir, wanita banyak bercakap, anda usahakanlah juga menjawab pertanyaan wanita dengan panjang lebar agar hati mereka puas mendengarnya.

Tidak Menepati Masa
Sesetengah orang sangat menepati masa dan pantang jika tetamu yang ditunggu hadir lewat. Namun sesetengahnya pula bersikap ambil lewa tentang kepentingan masa. Bagi mereka, lama menunggu bukan masalah asalkan sampai. Tapi kalau anda gagal dalam pengurusan masa bermakna anda seorang yang gagal dalam pengurusan hidup. Jadi kalau anda gagal dalam perkara-perkara kecil ini, bermakna anda gagal dalam pengurusan hidup yang memerlukan perancangan lebih teliti.

Berbelanja Lebih Dari Pendapatan
Bukan saja wanita, tetapi ada juga lelaki yang tidak mampu mengurus kewangan dengan teliti. Mereka sering berbelanja lebih dari pendapatan. Malah adakalanya mereka membuang wang kepada soal-soal sosial iaitu untuk berseronok di pusat snuker, selalu minum di luar dan sebagainya. Jadi, inilah sebahagian dari sikap buruk yang perlu anda akui dan perlu memperbaikinya jika anda memilikinya, kerana selagi anda tidak mengubah sikap buruk ini, anda tidak sukar berjaya dalam kehidupan!

No comments:

Post a Comment